Tong insulasi: Menteri akur bantahan 5,000 peniaga ikan

Mohd Yusri Amin

Pengerusi Persatuan Pemborong dan Penjual Ikan Kelantan, Mat Tarmizi Mamat berkata, bantahan itu dilakukan kerana tong itu berharga RM120 seunit berbanding tong biasa RM34 satu unit.

Selain itu katanya pengurusan tong insulasi merumitkan peniaga.

"Dengan penggunaan tong berinsulasi menyebabkan kos yang ditanggung pemborong empat kali ganda lebih besar.

"Dan bila harga tong meningkat maka dengan sendirinya harga ikan akan meningkat,” katanya di sini.

Baru-baru ini beliau bersama peniaga ikan mengadakan demontrasi aman sebagai membantahkan penggunaan tong berinsulasi.Image

Menurutnya dakwaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tong itu tahan ais tidak benar kerana kualitinya kurang, licin, tidak tahan lama serta mudah pecah.

Beliau berkata, persatuan musykil dengan arahan itu kerana pada majlis dialog dengan pihak berkenaan pada 21 Januari lalu, penggunaan tong berinsulasi ditangguhkan.

"Dialog terakhir antara Pemborong Kelantan dengan Pengarah LKIM Malaysia diadakan setelah kita buat bantahan dan menghantar memorandum kepada LKIM Negeri.

"Dan 1 Mac lalu kita tiba-tiba diarahkan supaya mengguna tong insulasi dan kalau tidak guna, kita akan diambil tindakan. Sedangkan dalam dialog dulu ditangguh," ujarnya.

Beliau berkata, peniaga ikan tetap tidak mahu menggunakan tong berinsulasi.

Seorang peniaga ikan di Pasar Besar Siti Khatijah, Kamaruddin Mamat berkata, kalau pihak berkenaan tidak memberi kelonggaran, mungkin bekalan ikan terputus di Kelantan.

Image "Kami mahu kelonggaran supaya boleh menggunakan semula tong sedia ada yang biasa memandangkan tong insulasi itu bukan saja harga mahal tapi sukar untuk mengurusnya, tak tahan ais," katanya.

Ekoran bantahan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju menetapkan hanya 10 peratus sahaja tong insulasi digunakan bagi setiap penghantaran ikan import supaya tidak membebankan mereka.

Menurutnya juga tong ikan berinsulasi hanya diwajibkan kepada pengimport yang memmbawa masuk ikan dari negara luar termasuk Thailand dan Indonesia.

Ketika diminta mengulas kenyataan terbaru menteri, Tarmizi berkata, menteri sepatutnya faham terhadap masalah yang berlaku kerana kesannya diterima rakyat, apabila tiada ikan di pasaran minggu lalu. - mj

No comments: