LKIM Diminta Tarik Balik Arahan Guna Tong Insulasi

KOTA BAHARU, 13 Jan (Bernama) -- Kira-kira 100 anggota Persatuan Pemborong dan Penjual Ikan Kelantan (PPPIK) hari ini mengadakan demonstrasi sebagai membantah penguatkuasaan penggunaan tong insulasi Khamis ini oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Penggunaan tong insulasi menggantikan tong plastik adalah tidak praktikal ekoran cirinya yang tidak sesuai untuk menjamin kesegaran ikan, kata Pengerusi PPPIK Ahmad Tarmizi Mamat.

"Tong insulasi memiliki pelbagai kelemahan antaranya mudah bertakung air, seberat 50 kilogram yang membebankan kerja pemunggahan secara manual, mudah gelongsor dan air batu mudah cair yang menyebabkan ikan mudah rosak," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada demonstrasi itu yang diadakan berhampiran pasar Siti Khadijah di sini.

Beliau berkata, penggunaan tong insulasi juga akan meningkatkan kos operasi kerana harga tong berkenaan mahal iaitu RM120 seunit yang hanya dapat memuatkan 40 kilogram ikan berbanding tong plastik berharga RM23 seunit untuk 30 kilogram ikan.

Katanya PPPIK akan menghantar memorandum kepada LKIM hari ini bagi menggesa pihak terbabit mengkaji semula dan menarik balik penguatkuasaan penggunaan tong insulasi.

Salinan memorandum itu juga akan dihantar kepada Ketua Pengarah LKIM dan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, katanya.

-- BERNAMA

No comments: