PKFZ: Dedahkan Dalang Sebenar

Posted on Mei 28, 2009 by Prasert
Audit: Kos PKFZ boleh cecah RM12 bil

May 28, 09 6:04pm

Laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menunjukkan bahawa kos projek tersebut boleh melonjak kepada RM12 bilion berbanding RM1.96 bilion ketika ia dilancarkan pada 2001.

Menurut laporan tersebut – yang disediakan oleh PriceWaterhouse Coopers (PwC) yang diumumkan hari ini – jumlah tersebut meliputi kos faedah pinjaman.

Kesimpulan utama laporan audit tersebut menyatakan bahawa kos projek yang tinggi, kelemahan urustadbir dan kelemahan pengurusan projek, telah menjejaskan kejayaan PKFZ.

Oleh itu, laporan itu menegaskan adalah amat penting bagi PKA mengambil tindakan segera bagi menstrukturkan semula pinjaman mudah dari Kementerian Kewangan sebanyak RM4.632 bilion untuk mengelak kegagalan pembayarannya pada 2012.

Kerajaan Malaysia juga, tambah laporan tersebut, perlu mengambil tindakan bersepadu untuk memperbaiki semula kedudukan PKFZ supaya menjadi satu pelaburan yang berjaya.

Kabinet meluluskan projek PKFZ pada bulan Mac 1999. Ia mengikut model Zon Bebas Jebel Ali di Dubai.

Bagaimanapun, kos pelaksanaannya telah meningkat dari RM1.957 bilion pada 2001/2002 kepada RM3.522 bilion pada 2008, tidak termasuk kos faedah.

Jika mengambilkira kos faedah, jumlahnya boleh mencecah RM7.453 bilion

Menurut laporan itu lagi, PKA telah menandatangani beberapa perjanjian dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) untuk membeli tanah dan memaju projek itu secara turnkey.

Kos anggaran asalnya untuk membeli tanah dan kerja-kerja memajukannya pada 2001 adalah sebanyak RM1.957 bilion.

Bagaimanapun, kos berbelanjaan projek itu telah meningkatkan kepada RM3.522 bilion pada 31 Disember 2008.

Manakala kos faedah daripada bayaran tertangguh kepada KDSB berjumlah RM1.425 bilion, dan ini menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan projek tersebut ialah RM4.947 bilion.

Laporan itu menyebut, PKA tidak mampu membiayai obligasinya kepada KDSB dari sumber kewangannya sendiri pada jadual pertama pembayaran pada tahun 2007.

Berikutan itu, PKA mendapatkan pinjaman mudah RM4.632 bilion dari Kementerian Kewangan (MOF). Pinjaman tersebut menyebabkan kos faedah tambahan RM2.506 bilion, dan menjadikan kos keseluruhan PKFZ mencecah RM7.453 bilion.

Menurut laporan itu lagi, PKA mesti menstrukturkan semula pinjaman mudah dari MOF itu bagi mengelak kemungkinan kegagalan pembayaran pada 2012.

Katanya, unjuran aliran tunai yang disediakan oleh pengurusan PKA menunjukkan bahawa lembaga itu akan mengalami defisit terkumpul tunai antara tahun 2012 dan 2041, selepas membayar dua bayaran ansuran kepada MOF.

Sekiranya PKA gagal untuk menjelaskan bayaran ansuran pinjaman MOF mengikut jadual, dan pembayaran ansuran itu ditangguhkan untuk dipadankan dengan unjuran aliran tunainya, maka menurut laporan tersebut, lembaga itu akan menanggung kos faedah tambahan kira-kira RM5 bilion.

Keadaan itu, tambahnya, akan melonjakkanlagi perbelanjaan projek tersebut kepada RM12.453 bilion.

Menurut laporan itu lagi, tidak dapat dipastikan sama ada PKA telah menerima nilai wang bagi jumlah yang telah dibelanjakan untuk memajukan PKFZ.

Pendekatan PKA dalam melaksanakan projek tersebut, tambahnya, ialah – sebagai satu pembangunan turnkey – tanggungjawab terletak di bahu KDSB untuk menyerahkan kerja-kerja yang telah siap kepada PKA, dengan kadar penyeliaan yang minima.

Tambahan lagi, tegas laporan itu, ia terlalu bergantung kepada juruukur bahan, QS4, untuk mengesahkan kos anggaran berdasarkan kepada rekabentuk-rekabentuk yang telah siap yang dikemukakan oleh KDSB.

PKA, tambahnya, boleh menguruskan projek itu dengan lebih baik lagi, umpamanya, dengan melantik pegawai penyelia yang berkelayakan, bagi memastikan ada pelan induk JAFZI/TSG dan spesifikasi terperinci bangunan/infrastruktur sebelum kerja-kerja dimulakan; menggunakan tender terbuka dalam pemberian kontrak; dan menggunakan juruukur bahan (GS4) sendiri secara lebih berkesan lagi.

Menurut laporan tersebut, Kementerian Pengangkutan (MOT)/PKA boleh mendapat faedah daripada kos pembiayaan yang rendah sekiranya ia mengeluarkan bon jaminan kerajaan untuk membiayai projek tersebut.

Sebagai contohnya, kata laporan itu lagi, PKA boleh mengeluarkan bon pada kadar 4.27 peratus seperti yang dinikmati Syarikat Prasarana Nasional Berhad (SPNB) untuk membeli tanah secara langsung pada harga RM21 sekali persegi (psf) (secara tunai), berbanding RM25 psf (secara bayaran tertangguh).

Oleh itu, tambahnya, jumlah anggaran keseluruhan perbelanjaan bagi membeli tanah tersebut adalah RM1.276 bilion berbanding dengan RM1.808 bilion – membolehkan penjimatan sebanyak RM0.532 bilion.

PKA juga, kata laporan itu, boleh menjimatkan lagi kos pembiayaannya seandainya ia memajukan unit industri ringan (ILU) dalam tempoh lapan tahun sepertimana yang disyorkan dalam pelan induk JAFZI/TSG dan bukannya dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Rahman Palil serah SPRM siasat

Ketua Umno bahagian Kapar, Datuk Abdul Rahman Palil menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menentukan dakwaan penyelewengan dalam laporan audit Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Ketika dihubungi hari ini, ADUN Sementa itu berkata, beliau sedia menghadapi siasatan SPRM.

“Biar SPRM siasat dan mengambil tindakan jika benar saya terbabit dengan penyelewengan.

“Bagaimanapun, saya yakin saya tidak terbabit,” kata Abdul Rahman yang juga bekas exco kerajaan negeri Selangor.

Nama beliau turut disebut dalam laporan audit PKFZ oleh PriceWaterhouse Coppers (PwC) berkaitan tanah milik Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang didakwa boleh menimbulkan kemungkinan konflik kepentingan.

Laporan itu menyebut Abdul Rahman merupakan ahli lembaga pengarah PKA dari 1997 hingga 2003.

Dalam satu mesyuarat lembaga pengarah tersebut, kata laporan itu, beliau telah mengisytiharkan dirinya sebagai pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad (KPPLB) dan bertanya mengenai cadangan pengambilan balik wajib tanah melalui pembelian terus.

KPPLB merupakan pemilik asal sebahagian daripada tanah tersebut.

Mengikut laporan itu, memandangkan pengambilan balik wajib tersebut akan menguntungkan PKA, maka rasional Abdul Rahman menimbulkan perkara itu adalah tidak jelas.

Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) akan membuat laporan kepada SPRM berhubung laporan audit PKFZ.

Pengerusinya, Datuk Lee Wah Beng berkata, beliau sendiri akan membuat laporan kepada SPRM jam 8 pagi esok.

PKFZ merupakan zon bebas komersial dan perindustrian bersepadu seluas 1,000 ekar yang menawarkan kemudahan untuk pengedaran kargo antarabangsa dan sebagai pusat penyatuan setempat.

Ia terletak bersebelahan Pelabuhan Barat di Pulau Indah, dan boleh diakses melalui Lebuhraya Kesas.

Laporan audit PKFZ menunjukkan bahawa kos projek tersebut boleh melonjak kepada RM12 bilion berbanding RM1.96 bilion ketika ia dilancarkan pada 2001.

Turut disebut dalam laporan tersebut – yang membabitkan kemungkinan berlaku konflik kepentingan – ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang juga ahli Parlimen Bintulu Datuk Tiong King Sing.

(Sumber: Malaysiakini)

APA BENDANYA PKFZ INI:

Pertama: Seperti biasa rampas tanah orang kampong.

Satu kompeni beli paksa tanah rakyat 3 ringgit untuk satu kaki persegi.

Lepas itu tanah yang sama di jual kembali kepada Port Kelang Authority dengan harga 25 ringgit untuk satu kaki persegi.

Mangkuk hayun penyamun ni dah rembat 22 ringgit setiap kaki persegi.

Luas tanah ialah 405 hektar.

Port Kelang Authority itu ialah duit rakyat.

Kelentong nak buat gudang, nak buat bangunan pejabat, nak buat hotel bertaraf 4 bintang.

Mulanya belanja dicadangkan RM 2.5 bilion. Songlap punya songlap sudah jadi RM.4.6 bilion.

SOALAN :

1 – Siapa lanun-lanun pelabuhan Klang ini ?
2 – Macam mana projek tipu rakyat ini diluluskan?
3 – Gedebe politik mana yang cekup duit ini?

APA YANG AKAN TERJADI?

Taraaaaaaaaaaak kes…. kah kah kah. Semua tutup kes. Tidak ditemui apa-apa bahan bukti kerana semua duit telah licin. Kah kah kah.

SATU LAGI PROJEK MEMBALUN HARTA RAKYAT

(Sumber: Tukar Tiup)

Satu Malaysia mesti celik mata. Projek seumpama ini bukan kali pertama memedihkan telinga kita dan bukan kali terakhir kita akan terkebil-kebil mata kerana tidak mengerti apa yang terjadi dan bagaimana ia boleh terjadi. Banyak lagi projek rakyat yang “tidak mesra rakyat” sedang dan akan dilaksanakan.

Setakat “tidak mesra rakyat” masih boleh diterima walaupun kelat hendak ditelan. Tetapi apabila sampai ke tahap menipu dan merompak rakyat, rasanya menyirap darah. Pemimpin dipilih rakyat untuk membela rakyat, bukan untuk melanun rakyat.

Oleh itu, seandainya terdapat pemimpin yang menyeleweng duit rakyat, maka wajarlah dia dihukum. Kesalahannya lebih besar daripada lanun perairan Somalia kerana lanun lautan itu tidak dipilih oleh mana-mana rakyat.

Namun, kita sedikit gusar dengan sistem kehakiman kita yang masih belum pulih daripada krisis keyakinan akibat integriti yang hilang. Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi pernah berkata bahawa pelabur asing lebih yakin kepada mahkamah Singapura atau Hong Kong. Walaupun Zaib Ibrahim pernah berusaha untuk memulihkannya, namun tidak berjaya. Beliau disingkirkan terlebih dahulu kerana terlalu pandai membaiki kelemahan orang lain. Tikus membaiki labu?

Hanya pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
kita bergantung harap agar kes PKFZ dapat menampilkan dalang yang sebenar kerana rakyat telah bosan menanti. Rakyat mahu dalang yang sebenar, dalang ternama yang tersohor lagi licik itu. Dalang kambing hitam tidak boleh diterima rakyat. Gagasan 1 Malaysia tidak cukup resipi sekiranya ketelusan projek berkaitan rakyat ditolak ke belakang

petikan dari http://satumalaysia.wordpress.com/

No comments: