Motivasi modal punca imperialisme

Hishamuddin Rais | Apr 2, 09 11:53am

Duit ringgit, modal dan harta kekayaan tidak berbangsa dan tidak beragama. Duit ringgit tidak mengenal sempadan. Keuntungan maksimum tidak bersunat dan tidak pernah mandi hadas.

Kapitalisme tidak memiliki semangat nasionalisme - tidak berbahasa dan tidak pernah ada semangat patriotisme.

Modal yang mencari untung tidak memiliki cinta, kasih dan sayang. Modal tidak mengenal manusia atau binatang. Apa yang dapat dijual pasti akan dijual.

Apa dapat dibeli, akan dibeli. Beli murah dan jual mahal. Untung memastikan keuntungan maksimum. Apa yang saya tulis ini adalah sifat-sifat dan ciri-ciri asli modal.

Modal memiliki watak ganas untuk bertarung, menundukkan dan memakan modal-modal yang lemah. Modal besar akan memakan modal yang kecil untuk menjadi modal yang lebih besar.

Modal yang lebih besar akan memakan modal besar untuk menjadi modal yang paling besar.

Jika modal duduk tidak bergerak, modal ini akan mengempis. Kalau saya ada 10,000 ringgit dan saya simpan duit ini di dalam bilik mandi – nilai 10,000 ini dari hari ke hari akan berkurangan. Beginilah hukum modal.

Modal yang tidak bergerak adalah modal mati. Tidak ada sesiapa yang dapat melanggar hukum ini - inilah hukum kapitalisme.

Dalam sistem ini, wang ringgit wajib begerak untuk terus membesar. Pembesaran modal hanya melalui jual-beli yang akan menjamin keuntungan.

Sistem ekonomi kapitalisme muncul daripada kehancuran sistem ekonomi feudalisme. Dalam hukum kapitalisme, modal wajib membesar dan berkembang, akhirnya melahirkan era kolonialisme – penjajahan.

Lupakan cerita-cerita karut yang diajar di sekolah menengah sewaktu di tingkatan lima tentang Zaman Penemuan Negara Baru.

Kita diberitahu bahawa kuasa Mat Saleh dari negara atas angin meninggalkan negara mereka untuk mengembangkan agama Kristian, mencari padri yang bernama John Poster atau membawa tamadun dan pencerahan ke negara yang tidak bertamadun – ini semua cerita-cerita karut.

Pada 1786, bukan Francis Light yang terjumpa Pulau Pinang tetapi orang Melayu Kedah yang berjumpanya. Pada 1819, bukan Thomas S Raffles yang menemui Singapura tetapi orang Melayu Johor bertemunya.

Orang Putih menemui Singapura dan Pulau Pinang adalah cerita karu- marut yang telah dijual begitu lama sekali. Tidak ada sesiapa menemui kita. Kita telah lama wujud!

Tujuan Portugis , Sepanyol, Belanda dan British meninggalkan tanah air mereka dan belayar ialah untuk mencari bahan-bahan perniagaan baru untuk diperdagangkan.

Berdagang ertinya datang untuk mencari keuntungan. Kuasa kolonial ini ingin mencari dua perkara: bahan mentah untuk dibawa ke Eropah dan pasaran untuk menjual barang yang mereka buat di negara mereka.

Di Eropah pada awal kurun ke-13, pasaran telah tepu. Sistem ekonomi feudal tidak dapat lagi menanggung perkembangan tamadun bangsa. Kemiskinan di sana sini.

Naratif Charles Dickens dalam Oliver Twist (1838) menggambar keadaan ketika itu dengan tepat sekali.

A Tales of Two City (1859) berlatarkan revolusi rakyat Perancis memperlihatkan penentangan kaum tani terhadap kaum feudal. Sistem ekonomi feudal sedang diasak oleh sistem ekonomi kapitalis.

Zaman awal penjajahan ialah zaman pemulaan kapitalisme saudagar – mercantile capitalism. Jangan lupa East India Company dan Dutch East India Company – nama mereka sahaja telah tertonggeng bogel menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah saudagar yang datang berdagang untuk mencari harta kekayaan.

Raja/Permaisuri England dan Belanda disalut kemudian untuk mencantik dan mengindahkan kerja jahat kaum saudagar ini. Malah ramai di antara saudagar Mat Saleh ini adalah lanun laut yang diberi penghormatan oleh kaum feudal.

Agama didatangkan kemudian dengan tujuan untuk menipu dan memastikan anak-anak tanah jajahan terus diperbodohkan dan ditakut-takutkan dengan api neraka.

Cerita api neraka ini masih lagi satu trick baru yang masih boleh digunakan di tanah jajahan. Hasil daripada persekongkolan – kaum pemodal, kaum feudal dan kaum agamawan - tanah dan harta kekayaan rakyat di Asia, Afrika dan Amerika Latin dapat di rampas.

Sebagai gantinya, rakyat di negara-negara ini diberikan Kitab Injil. Inilah hakikat era zaman kolonialisme.

Kemasukan kuasa kolonial ini bukan tidak ada penentangan. Di Melaka, kuasa Portugis telah dilawan. Apabila kuasa kolonial Belanda sampai, mereka juga ditentang dan dilawan.

Justeru kuasa kolonial melihat bahawa untuk memastikan perniagaan mereka selamat, mereka perlu memiliki bala tentera. Justeru kota-kota pelabuhan yang didirikan di tepi persisiran laut wajib dikawal rapi.

Inilah yang berlaku di Batavia, Melaka, Pulau Pinang, Singapura, Manila – di Afrika dan Amerika Latin ciri-ciri yang sama juga berlaku.

Kini wajah modal para saudagar telah mula berubah. Untuk memperlihatkan mereka berderajat dan "ada class", maka cap mohor King dan Queen diperlukan. Untuk memastikan mereka selamat, tentera laut dan darat disediakan.

Apabila modal emas dan ringgit terkumpul dan bertambah, maka para saudagar ini berupaya untuk mendiri dan memperbesarkan pasukan soldadu. Akhirnya anak-anak tempatan direkrut untuk dijadikan sebahagian daripada tentera kolonial.

Tentera Gurkha, Kyber Rifles, British Indian Army, British Burmese Army adalah antara nama-nama pasukan tentera selepas anak-anak tempatan berjaya direkrut untuk menjadi alat penjajah.

Di Indonesia hingga ke hari ini, kita mendengar konsep Anak Emas Belanda – ini adalah rakyat Moluku yang direkrut untuk menjadi budak suruhan Belanda.

Malah askar Melayu diraja yang patriotik menentang Jepun dalam Perang Dunia Kedua dihasilkan oleh British War Office yang meluluskan Akta Malay Regiment pada 23 November 1923.

Dalam masa yang sama, kuasa kolonial juga bergerak mengikut hukum kapitalisme dan modal – mereka bertentangan antara satu puak dengan yang lain.

Portugis kuasa kolonial awal telah lemah kerana diserang oleh kuasa modal British, Belanda dan Sepanyol. Kuasa modal kolonial Sepanyol runtuh apabila diserang oleh kuasa modal kolonial Belanda dan British.

Akhirnya yang tinggal hanyalah kuasa modal British dan Belanda.

Di kawasan Kepulauan Melayu, pertempuran hebat untuk merebut harta kekayaan berlaku di antara dua kaum pemodal ini. Mereka berperang untuk memiliki dan menguasai kota perniagaan di Melaka, Singapura, Pulau Pinang, Bengkulu, Borneo, Belitung dan Batavia.

Terbukti bahawa peperangan ini tidak ada sangkut-paut dengan agama atau warna kulit. Mereka semua berkulit putih dan semua beragama Kristian.

Apa yang mereka rebutkan ialah harta kekayaan dan tanah jajahan. Perperangan mereka adalah peperangan kaum pemodal - ini adalah mengikut hukum kapitalisme.

Akhirnya melalui perjanjian Anglo-Dutch Treaty 1924, dua kuasa kolonial ini bersetuju untuk tidak berperang. Perjanjian ini memisahkan bumi Melayu dan Kepulauan Melayu – maka lahirlah apa yang dipanggil Indonesia dan Persekutuan Tanah Melayu.

Belanda menerima hakikat bahawa Singapura adalah hak British dan British memulangkan Bengkulu dan Belitung kepada Belanda.

Kuasa penjajahlah yang melahirkan konsep negara bangsa. Pulau-pulau di selatan Singapura menjadi Indonesia.

Melalui Anglo-Siamese Treaty 1909 pula, wilayah-wilayah Patani, Menara, Singgora, Setul dan Yala menjadi wilayah Raja Siam. Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu jatuh ke tangan British.

Perjanjian-perjanjian ini bukan dibuat oleh orang Melayu tetapi oleh kuasa kolonial British. Tujuan perjanjian ini: untuk memastikan suasana aman agar saudagar dari East India Company dan Dutch East India Company tidak diganggu-gugat.

Kaum saudagar dari negeri atas angin yang awalnya datang dengan kapal layar untuk berniaga dan mencari bahan perniagaan akhirnya menjajah dan mendirikan kekuatan tentera, politik dan ekonomi.

Modal dan harta kekayaan yang terkumpul hasil daripada sistem ekonomi kapitalis ini akhirnya sampai ke puncak.

Puncak pencapian kapitalisme ialah imperialisme. Kekuatan modal imperialisme ini telah berjaya mendirikan empayar - seperti empayar yang didirikan oleh kerajaan Rom apabila seluruh Eropah, negara Arab dan negara di persisisran Laut Tengah semuanya menjadi tanah jajahan Maharaja Rom.

Tanah Melayu juga akhirnya menjadi sebahagian dari empayar British. Tanah-tanah jajahan British yang berselerak di Asia dan Afrika telah menyelamatkan ekonomi British daripada berlakunya pemberontakan rakyat. Modal British dapat berkembang luas mencari untung.

Keuntungan berlipat ganda mencurah-curah masuk ke kota London. London menjadi kota terbesar dan terkaya di dunia - lebih besar dan ampuh daripada empayar Rom.

Tetapi pesta ini hanya untuk sementara kerana ada lagi satu hukum alam yang tidak dapat dilawan: di mana ada penindasan, di situ pasti akan muncul penentangan.

No comments: