Nuklear: Pandangan rakyat diabaikan lagi?

Sep 24, 10 11:57am

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) melahirkan rasa terkejut kerana mendapati kerajaan sudah pun memutuskan cadangan program tenaga nuklear sepertimana yang dimasukkan ke dalam salah satu 131 projek Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Rancangan itu didedahkan kepada orang ramai pada 21 September lalu.
“Kami ingin mengingatkan kembali bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan dalam blog 1Malaysia berikutan bantahan orang ramai terhadap pembinaan loji tenaga nuklear bahawa beliau akan mendapatkan pandangan orang ramai berhubung perkara itu.

“Sehingga ke hari ini, kami masih belum melihat sebarang perbahasan yang bermakna dan proses rundingan awam sebenar oleh kerajaan,” kata presiden CAP dan SAM, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamed, apa yang dipanggil forum dan perbahasan awam yang sebahagian besarnya dianjurkan oleh Agensi Nuklear Malaysia bukan platform neutral untuk mendapatkan pandangan awam.

“Perlu diingatkan bahawa mereka yang menghadiri forum itu adalah terdiri daripada kakitangan agensi dan pegawai kerajaan daripada jabatan yang berkaitan dan panel perbincangan datangnya daripada agensi ini.

“Agensi Nuklear Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kttha) merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dan agenda terbuka dalam menyokong loji tenaga nuklear sepertimana yang ditunjukkan melalui kenyataan umum mereka setakat ini,” katanya.

Pada Julai lalu, Menteri Kttha, Datuk Peter Chin dilaporkan berkata kerajaan akan hanya membuat keputusan akhir berhubung tenaga nuklear selepas mengkaji hasil penemuan Rancangan Pembangunan Infrastruktur Tenaga Nuklear yang dijadualkan siap pada 2013.

“CAP dan SAM ingin mengetahui jika keputusan kerajaan dimaklumkan oleh penemuan ini jika ia telah pun diperolehi. Jika demikian masyarakat awam Malaysia dan orang ramai perlu dimaklumkan. Jika tidak, kenapa tergesa-gesa untuk meneruskan dengan rancangan pembinaan loji tenaga nuklear, “ soalnya.

www.malaysiakini.com

No comments: