Police 'KING' in Malaysia?

Zukri Aksah Mei 6, 10 10:48am

Ia mengingatkan saya pada peristiwa Himpunan 100,000 rakyat di Lebuhraya Kesas tanggal 5 November 2000, lama dahulu.

Saya berkesempatan melihat seorang pakcik dibelasah dengan belantan oleh polis sehingga patah belantan itu, nyatanya pakcik itu tidak mengejar polis, tetapi polislah yang mengejarnya.

Saya juga berkesempatan melihat sikap tidak hormat harta peribadi orang bila polis dengan sewenang-wenangnya menendang motosikal-motosikal yang diletakkan di tepi jalan sehingga jatuh terbalik, sekali lagi motosikal-motosikal yang tidak bergerak itu tentulah tidak mengejar polis, tetapi polis membaham mereka seperti harimau kelaparan.

Arwah Aminulrasyid Amzah mengingatkan semula saya terhadap peristiwa ini.

Sebabnya laporan awal ada mengatakan bahawa kereta yang dipandu arwah yang hanya berumur 15 tahun ini mengundur dan cuba merempuh polis.

Ini yang membuat saya jadi sinikal, betapa seorang remaja Tingkatan 3 yang sedang ketakutan mengambil tindakan berani “mengejar” polis secara mengundur, sedangkan lautan manusia di Kesas lebih 10 tahun dahulu, walaupun semuanya berani-berani belaka, tidak ada seorang pun yang menjadi “gila” mengejar polis.

Bagi mewajarkan segala apa yang sudah berlaku, polis mendakwa yang arwah Aminulrasyid adalah suspek penyamun setelah kenyataan bahawa polis melepaskan tembakan kerana kereta yang dipandu arwah Aminulrasyid cuba lari dari sekatan jalanraya tidak dapat diterima oleh banyak pihak.

Dakwaan awal bahawa senjata parang ditemui dalam kereta tersebut juga hilang begitu sahaja, tiada sidang media polis seperti yang biasa kita lihat dengan parang ditunjukkan di atas meja.

Tayar dan kereta yang dipandu arwah Aminulrasyid ditembak bertubi-tubi. Timbul dua persoalan penting di sini. Pertama, apakah kereta itu terbukti sebuah kereta curi atau ada maklumat kereta itu milik kumpulan penjenayah tertentu sehingga ia “dilayan” sebegitu rupa oleh pihak polis?

Kedua, apakah anggota polis yang meronda di lapangan adalah dari kategori tidak terlatih dalam penggunaan senjata api? Hinggakan tembakan ke arah tayar boleh tersasar sehingga ke kepala arwah Aminulrasyid, yang seterusnya membawa kepada kematian remaja ini? Kalau betul, ia sudah tentu satu keadaan yang sangat menakutkan bagi orang awam selepas ini.

Saya tidak menafikan arwah Aminulrasyid ada kenakalannya yang tersendiri sebagai seorang remaja. Dari fakta kes, arwah sudah tentu salah kerana memandu tanpa lesen, dan arwah juga mungkin telah memandu melebihi had laju (itupun mungkin kerana arwah sedang dalam ketakutan).

Tetapi itu belum lagi mampu mewajarkan akal waras saya untuk menerima logik tembakan pihak polis tersebut. Ya, polis boleh memberi tembakan amaran, tetapi bukankah tembakan amaran sepatutnya dilepaskan ke udara? Sebelum saya tertinggal, dari fakta kes juga, bukankah kereta polis yang mengejar kereta Aminulrasyid itu dari jenis MPV, sedangkan Aminulrasyid hanyalah seorang pemandu amatur yang memandu kereta Proton Iswara?

Saya rasa tidak susah MPV tersebut memotong sebuah Iswara dan mengarahkannya berhenti, tanpa perlu sebarang tembakan dilepaskan?

Akhirnya apa yang berlaku sudahpun berlaku, sedihnya apa yang berlaku adalah tragedi, tragedi yang melibatkan kematian, saya percaya semua pihak tidak mahu ini berlaku.

Saya bersetuju dengan gesaan Musa Hassan supaya rakyat tidak mempertikaikan tugas polis. Untuk rekod, rakyat tidak pernah mempertikaikan tugas polis, tugas yang asasi iaitu menjaga keselamatan awam secara seadilnya. Namun apa yang berlaku mutakhir ini mencetus kritik tentang bagaimana pihak polis bertugas?

Malangnya polis tidak dapat mengelak dan menafikan kritik ini, sebab arwah Aminulrasyid bukanlah kes pertama yang memperlihatkan polis seperti bertindak secara sewenang-wenangnya.

Seperti laporan media sebelum ini, Januari lalu kita dikejutkan dengan kes Norizan Salleh yang mendakwa ditembak lima kali di bahagian dada dan tangan di sebuah lebuh raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Segambut. Akibat dari serangan tersebut, Norizan diberitakan cedera parah dan terlantar di hospital lebih dua minggu di bawah pengawasan polis.

Beliau juga dilaporkan terpaksa menanggung sendiri kos rawatan perubatan berjumlah hampir RM20,000. Jauh sebelum itu negara juga digegarkan dengan kes kematian mendiang Kugan dalam lokap polis.

Saya kira masalahnya polis terlalu dimanjakan sehingga mereka merasa terlalu berkuasa. Kerapkali status dan kuasa “polis” mereka diperguna dan disalahguna oleh elit-elit politik pemerintah demi kelangsungan politik kumpulan ini, sehinggakan tanpa sedar mungkin, polis hari ini mengguna pakai skala kuasa yang diteladani dari elit-elit politik ini.

Skala kuasa ini tidak lagi berasaskan kepada tugas asasi polis, iaitu menjaga keselamatan awam seadilnya, skala kuasa ini juga memanipulasi ruang gelap dalam undang-undang yang dilihat sangat abstrak dan subjektif tafsirannya.

Sekali lagi, rakyat sebenarnya tidak pernah mempertikaikan tugas polis, cuma kegusarannya adalah tentang bagaimana polis bertugas. Kerana tidak mempertikanlah, rakyat selama ini masih membayar saman trafik polis, masih ke balai polis jika ada kejadian yang perlu dilaporkan, dan masih menelefon polis jika ada kecemasan berkait dengan keselamatan.

Rakyat masih menaruh harapan, janganlah tunggu sampai rakyat membenar dan mengiyakan ungkapan polis raja di Malaysia itu.

Berubahlah sementara sempat, kerana krisis kepercayaan antara rakyat dan polis, jika berlaku adalah tragedi yang lebih buruk berbanding kematian Aminulrasyid dan kecederaan Norizan.

Polis Mengganas Lagi?

Pada 1 Mei 2010, Kerajaan Negeri Selangor di bawah porfolio Exco Pendidikan bersama MBSA melalui MPP Zon 1, telah menganjurkan program ‘Sebang Santai’ bersama beberapa artis iaitu Ringo dan Dakmie, di Dataran Shah Alam. Turut mengambil bahagian pada malam itu, beberapa pembaca puisi serta kumpulan pemuzik tradisional. Satu forum turut diselitkan yang mana ahli panelnya adalah Ustadz Reduan Mohd Nor, Ustadz Najmi dan salah seorang dari artis tersebut, iaitu Dakmie.

Program ini bertujuan menarik perhatian dan minat golongan remaja dan pemuda supaya mereka, sambil bersantai mendengar lagu-lagu yang berunsur nasihat, dapat juga mendengar kata-kata nasihat dari ustadz-ustadz muda. Program bermula selepas Isya, pada jam 9.30 malam dan berlangsung dengan baik sehingga jam 12 malam pada mana ianya ditutup dengan pembacaan doa penutup. Program itu turut dibantu oleh ahli Dewan Pemuda PAS Shah Alam, melalui Department of Arts, Culture and Sports (DACS) yang merupakan jabatan baru di bawah Pemuda yang ditugaskan untuk menarik perhatian dan minat golongan muda.

Selepas selesai program, sambil petugas-petugas membersihkan kawasan dan menyusun kerusi meja, pada lebih kurang jam pukul 12.20 malam, tiba-tiba tiga kenderaan polis trafik meluru ke daratan Shah Alam dari sebelah bangunan SUK/ Masjid Negeri. Mereka berhenti di kawasan dataran dan anggota polis keluar dari kenderaan-kenderaan berkenaan sambil meluru ke arah kumpulan pemuda yang sedang duduk di kawasan astaka. Tanpa soal siasat dan tanpa apa-apa provokasi, ada anggota polis menendang motorsikal yang sedang parkir secara tersusun di tepi jalan sambil kedengaran arahan dari pegawai yang mengarahkan mereka untuk menanhan pemuda-pemuda berkenaan. Kumpulan pemuda bertempiaran lari, menuju ke motorsikal masing-masing untuk melarikan diri. Suasana yang aman tiba-tiba menjadi kacau bilau dengan sebahagian besar dari pemuda bermotor berjaya melepaskan diri.

Namun, sepertimana yang boleh dijangka di dalam situasi sebegitu, dengan keadaan kelam kelibut yang dihasilkan oleh serbuan polis, salah seorang pemuda yang ingin melepaskan diri terlanggar sebuah kereta yang sedang datang dari arah Lebuh raya Persekutuan dan pemuda itu pun terjatuh. Beliau mengangkatkan diri, menunggang motorsikalnya kembali dan terus menuju ke jalan depan Hotel Quality Inn. Tanpa sebab, mengikut seorang saksi, seorang anggota polis menendang motorsikalnya, menyebabkan beliau terhoyang hayang dan terus melanggar sebuah van yang sedang parkir di situ. Cermin belakang van pecah dan pemuda tersebut terlantar atas jalan. Kemudian, datangnya polis berkenaan dan terus memijak pemuda tersebut.

Orang ramai yang sedang duduk minum di gerai tepi jalan di dataran, yang selama ini tergamam melihat kegilaan yang sedang berlaku, tiba-tiba bangun dan menjerit kepada pihak polis, membantah tindakan mereka. Semua merasa tidak berpuas hati dengan tindakan serbuan yang dilakukan tanpa usul periksa dan tanpa belas kasihan. Kumpulan pemuda yang hadir tidak melakukan apa-apa kesalahan, tetapi cara serbuannya seolah-olah menyerbu kumpulan perompak dan penyamun. Kemarahan memuncak apabila dilihat tindakan memijak/menyepak pemuda yang telah terlentang akibat berlaga dengan van.

Respon orang ramai menyebabkan polis memberhentikan tindakan mereka. Yang memijak pemuda lari kembali ke arah kereta peronda tetapi tidak sebelum seorang anggota pemuda PAS telah sempat mengambil nama dan nombornya. Nama inspektor yang bertugas memimpin operasi berkenaan dicatit dan begitu juga nama dan nombor beberapa anggota yang lain. Kunci-kunci motorsikal yang sempat dirampas polis dikembalikan dan polis beredar dari dataran setelah ambulans dipanggil untuk membawa pemuda yang berlanggar dan disepak tadi ke hospital TAR Klang.

Sambil seorang dua menemani pemuda berkenaan, beberapa yang lain telah ke Balai Polis untuk membuat report polis atas tindakan polis yang ganas tersebut.

Saya yang baru kembali dari walimah anak buah saya di Ampang pada jam hampir pukul 12 malam telah menerima panggilan pada jam 12.30 meminta saya untuk turun ke Balai. Pada jam 1.20 pagi, setelah mandi, salat dan menukar pakaian. Saya meminta untuk bertemu dengan Inspektor yang bertanggung jawab terhadap operasi berkenaan sambil laporan polis terus dibuat oleh mereka yang menyaksikan insiden tersebut. Anggota yang bertugas menjawab Inspektor berkenaan tadi ada tetapi sekarang telah pergi bertemu Timbalan OCPD untuk membuat laporan. Jam 2 pagi? Hebat. Saya terus menghubungi OCPD Shah Alam. Tiada jawapan.

Sekembali saya ke rumah, jam 2.30 pagi, saya menghantar SMS ke OCPD Shah Alam. Ia berbunyi:

“Salaam. Polis mengganas di dataran Shah Alam malam tadi jam 12.20. Menerajang pemuda bermotor yg baru selesai menghadiri program kerajaan Negeri.”

Jam 7.56 pagi OCPD menjawab:

“Salam. Fakta yg YB dapat tu tak betul. 1 operasi antara polis, MBSA & Jab. Alam Sekitar tlah dadakan d S. Alam tmasuk d Dataran S. Alam ekoran dr complaint dr orang ramai ada kegiatan mat rempit di situ. Tiada insiden menerajang blaku sbg mana yg YB nyatakan. Penunggang telah lari dan melanggar belakang van d jalan yg sempit d hadapan Quality Hotel.”

Saya menjawab kembali melalui SMS:

“Harap tuan refer pada 4 atau 5 laporan polis yg dibuat awal pagi tadi oleh beberapa saksi termasuk seorang ahli majlis MBSA. Laporan dibuat pada jam 2 pagi.”

Kommunikasi di atara kami berakhir selepas itu. Mana mungkin operasi bersama MBSA sedang ahli majlis MBSA pun hadir di situ mengikuti program tersebut! Program itu program anjuran bersama MBSA dan kerajaan Negeri!

Saya khuatir yang menghubungi dan membuat aduan adalah dari pihak tertentu dan mempunyai motif politik yang telah mula cemburu dengan kemampuan kerajaan negeri menarik minat dan perhatian pemuda dari berbagai lapisan dan kefahaman untuk menyertai program sebegini. Golongan ini kemudiannya memberikan maklumat yang palsu dan pihak polis pula, tanpa soal siasat, terus meluru ke lokasi berkenaan dengan penuh kepercayaan bahawa pemuda yang berkumpul merupakan pengacau dan mat rempit yang perlu diajar. Lebih lebih lagi sekiranya pengadu adalah orang ternama yang bergelaran atau sebagainya.

Sekiranya begitu, amatlah malang nasib polis yang diperkudakan parti politik untuk kepentingan politik mereka. Akhirnya, nama polis juga yang menjadi busuk dan rakyat biasa bertambah tertekan dan sengsara.

Pemuda yang dihantar ke hospital dirawat dan dibenarkan kembali ke rumah pagi itu juga pada jam pukul 8.30 pagi. Beliau bernama Muhammad Nazmi Anwar dan merupakan seorang pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di Kolej PTPL. Ibu bapanya kebinggungan mengapa peristiwa sebegini menimpa anaknya. Doktor memesan untuk mereka memantau keadaannya, takut-takut mengalami gegaran otak yang boleh mendatangnya kesan buruk yang serius terhadap dirinya. Sekiranya dalam masa 5 hari ada termuntah atau sebagainya, maka didesak untuk dibawa kembali ke hospital dengan segera.



Pada hari Ahad 2 Mei jam 3 petang saya memanggil satu sidang akhbar. Ayah dan ibu Nazmi turut hadir bersama. Semua saksi hadir termasuk beberapa pemuda yang bersama Nazmi pada malam tersebut. Selepas PC, mereka ke Balai Seksyen 11 untuk membuat satu lagi laporan polis. Saya pula ke Bukit Mertajam untuk berceramah di Kubang Semang.

Pada keesokkan harinya, saya menghubungi ayah saudara Nazmi. Menurut beliau, Nazmi dalam keadaan agak terkawal. Tiada muntah-muntah, tetapi menjadi lemah semangat. Saya berhubung seorang peguam yang meminta Nazmi diperiksa sepenuhnya oleh Doktor dari Hospital Awam. Saya sampaikan pesanan tersebut kepada ayahnya dan beliau akan lakukan secepat mungkin, insyaAllah.

Ingin saya tekankan di sini bahawa saya bukannya anti Polis dan ingin mencari pasal dengan pihak polis. Saya menghargai segala usaha dan jasa baik majoriti dari anggota polis yang bertungkus lumus memegang amanah yang telah diberikan kepada mereka. Tetapi apa yang telah terjadi adalah keterlaluan. Nazmi dan rakan-rakannya bukanlah Mat Rempit yang mengganggu ketenteraman awam, namum walau apa sekali pun, ini bukanlah caranya untuk kita mendidik dan menangani masalah tersebut. Ia sepatutnya ditangani dengan kaedah yang penuh hikmah dan bukan dengan cara yang ganas dan menggerunkan golongan yang bakal mengambil alih teraju negara ini.

Adakah pihak polis ini sedar kesan tindakan mereka terhadap golongan pemuda? Lebih lebih lagi terhadap Nazmi? Nasihat saya pada KPN, ambil tindakan terhadap yang keterlaluan. Kalau tidak, imej polis terus merudum, bukan atas salah sesiapa, tetapi atas sebab tindakan anggota polis sendiri yang tidak betul tetapi dipertahankan oleh ketua mereka. Akhirnya bukan hanya yang terlibat tercemar dan terpalit, seluruh institusi polis turut tercemar dan terpalit sama!

WaLlahu 'Alam


YB Khalid Samad,
Ahli Parlimen Shah Alam.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

EKONOMI MALAYSIA TERKANGKANG

Untuk negara-negara di Dunia Ketiga seperti Malaysia : ekonomi terbuka ini samalah seperti ekonomi terkangkang. Ekonomi terkangkang samalah seperti pelacur yang membukakan peha kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar dan melanggan.

Saya bersimpati kepada pentabiran hari ini kerana terpaksa mengangkang untuk memanggil pelabur luar datang menjilat madu ekonomi negara kita. Sebenarnya ekonomi terbuka atau ekonomi terkangkang ini adalah satu fenomena yang baru. Ekonomi terkangkang ini di paksakan bukan sahaja kepada Malaysia malah kepada semua negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Ada urutan sejarah sebelum dilahirkan ekonomi terkangkang ini. Mari kita kembali ke era sesudah tamatnya Perang Dingin. Ketika itu Amerika Syarikat telah mengangkat dirinya sendiri untuk menjadi kepala taiko mengawal semua ekonomi kapitalis dalam dunia ini. USSR atau Soviet Union telah mengundur. Di era Perang Dingin wujud Dua Negara Super - USSR/USA - kini tinggal hanya satu. Amerika Syarikat - menjadi kuasa mutlak dunia - naik angin dan besar kepala kerana dilihat tidak ada kuasa yang akan dapat melawan/menentang mereka.

Kuasa imperial Amerika ini yang dibantu dengan bala tentera dan dolar telah mengarahkan Bank Dunia, World Trade Organisation, APEC, NAFTA, IMF, PBB untuk memaksa negara-negara di Dunia Ketiga membuka ekonomi mereka. Dasar ini bermula di zaman pentabiran Ronald Reagan di Rumah Puteh dan Magaret Thatcher di No 10 Downing Street.

Dolar – duit Amerika – telah dipaksakan untuk digunakan dalam hal jual beli minyak. Dolar kertas hijau yang tidak memiliki apa-apa nilai ini kerana tidak ada sandaran emas wajib dimiliki oleh setiap negara kapitalis jika ingin membeli atau menjual minyak. Ini sebenarnya satu rompakan di siang hari. Dengan sokongan kekuatan bala tentera, tidak ada satu kuasa yang berani melawan atau menentang rompakan Amerika ini kecuali 3 buah negara : Cuba, Iran dan Venuezula.

Dibelakang pentas politik - pentabiran Amerika Syarikat memaksa kerajaan-kerajaan di Dunia Ketiga untuk membuka pasaran kepada syarikat multinasional. Sekatan demi sekatan dihapuskan. Tarif dan cukai yang menjadi pendapatan negara dipaksa untuk dilupuskan. Semua ini, konon, untuk mengembang dan meluas perdagangan. Setiap negara Dunia Ketiga digalakkan untuk membuka ekonomi mereka seluas mungkin kepada pelaboran luar.

Di zaman Mahathir – ada penentangan. Dengan licik Mahathir cuba menolak kemasukan pemodal luar. Pasaran dalaman negara dijaga dan dikawal. Mahathir Muhamad mewakili kapitalis nasional – mewakili kepentiang Lim Goh Tong, Ananda, Vincent Tan, Eric Chia atau Daim. Ini tidak berlaku dizaman Najib.

Tekanan ini telah sampai kepada Najib. Nasib rakyat Malaysia cukup malang kerana sesudah Dolah Badawi rakyat Malaysia berperdana menterikan Najib. Najib Razak adalah Pedana Menteri Malaysia yang memiliki banyak beban dan masaalah pribadi. Kes pembunuhan Altantuya adalah salah satu contoh dimana tekanan politik dan ekonomi boleh dikenakan kepada Najib.

Kalau kita semua kembali untuk melihat latar belakang Najib, maka kita akan merasa Malaysia hari ini dalam keadaan yang amat merbahaya. Mengikut surat Akuan Bersumpah Balasubramaniam - Najib telah bertemu dengan Altantuya di Singapoura - disatu pameran intan berlian. Sama ada perisek Singapura memiliki gambar Najib dengan Altantuya atau tidak bukan persoalan.

Dengan tidak adanya kepastian sama ada Singapura memiliki gambar itu atau tidak akan terus menakutkan Najib. Bagitu juga dengan General Directorate for External Security ( DGSE polis rashia Peranchis ) – sama ada mereka memiliki gambar Najib makan bersama Altantuya dalam restauran di Paris seperti kenyataan sepupu Alrantuya kepada hakim di mahkamah bukan persoalan.

Persoalannya ialah : Najib akan sentiasa gerun dan takut kepada kuasa kuasa ini. Najib akan senang ‘dipau’ dan di tekan. Inilah malangnya nasib rakyat Malaysia kerana Perdana Menterinya memiliki masaalah.

Lalu timbul peroalan : Apakah Najib sedang ‘dipau’ oleh Singapura? Atau apakah Najib juga sedanng ‘dipau’ oleh negara negara lain seperti Peranchi, Amerika dan Russia? Ini persoalannya wajib ditanyakan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana masa depan Malaysia tidak seharusnya ‘dipau’ oleh kuasa-kuasa luar.

Orang ramai dan pemerhati politik agak hairan apabila melihat Najib membuat kenyataan penting tentang pemansuhkan Dasar Ekonomi Baru. Kenyataan yang amat penting ini dibuat bukan di Parlimen Malaysia tetapi di Singapura. Kenapa di Singapura? Kenapa tidak di Persidangan United Malays National Organisations?

Kemudian, apabila Najib memperkenalkan Model Ekonomi Baru, Najib tidak juga berucap di Parlimen tetapi di khalayak peniaga, towkay dan penjual beli dari syarikat luar. Kenapa tidak berucap kepada Dewan Perniagaan Bumiputera?

Amat jelas disini bahawa Najib terpaksa menyembah para peniaga, pelabor dan pemodal dari luar negara. Najib tahu jika kaum kaum kapitalis ini tidak diseronokan maka akhbar dan media mereka akan mula membuka kembali cerita dan kesah Mongolia. Jika Najib tidak membuka pasaran Malaysia maka CNN, BBC, Rueters, CNBC, AFP – akan membuka kesah Altantuya.

Akhirnya Najib terpaksa membuka ekonomi Malaysia jika tidak tekanan akan datang. Dalam masa yang sama apabila bila ekonomi Malaysia terkangkang maka yang akan menjadi mangsa serangan ekonomi kapitalis dunia ialah orang Melayu. Hakikatnya orang Melayu yang masih miskin akan menjadi mangsa serangan kaum kapitalis global. Ini bukan dilema Najib. Najib telah memilih untuk menyelamatkan diri dengan membuka ekonomi Malaysia.

Lalu persoalan timbul – apakah ada jalan lain selain dari mengangkang kepada pemodal luar. Lalu kita dipaksa untuk percaya dengan propaganda bahawa tidak ada jalan lain dalam era globalisasi ini melainkan membuka pasaran kita. Lalu kita diingatkan , malah diberi amaran jika ingin maju dan berjaya maka kita wajib berani bersaing untuk membuka pasaran kita.

Hasil dari propaganda ini Najib dipaksa untuk menarik subsidi. Najib dipaksa untuk membukakan kontrek kepada syarikat luar negara. Najib dipaksa untuk membenarkan syarikat luar negara untuk membeli saham dan harta negara kita.

Harus diingati : kapitalis melabur bertujuan untuk mendapat keuntungan maksima. Kapitalis berkerja untuk mencari untung maksima. Kapitalis tidak akan peduli tentang dasar ini atau dasar itu. Yang mereka perlukan hanya satu dasar : mereka diberi kebebasan dari segala macam cukai mukai. Cakap-cakap bahawa pemodal ini akan membawa pembangunan adalah bohong. Sistem kapitalis adalah sistem ekonomi yang beasaskan keuntungan. Kapitalis mendahulukan keuntungan.

Mari kita kembali untuk kepada asas ekonomi. Asas ekonomi mengajar kita memahami bahawa harta muncul dari hasil bumi, modal dan tenaga buruh. Kita memiliki asas-asas ini. Hasil bumi kita adalah milik kita. Warga negara adalah juga modal kita. Tenaga yang dilahirkan oleh manusia ialah modal.

Jangan silap baca – wang ringgit bukan modal. Wang ringgit itu adalah kertas yang mewakili nilai tenaga yang telah dikristalkan dalam bentuk dinar, ringgit atau rupiah. Satu keping ringit bermakna telah wujud tenaga buruh yang dinilai dengan harga satu ringgit dalam keping kertas itu.

Justeru kita jangan menjadi takut apabila kita selalu ditakut-takutkan jika FDI atau pelaburan luar tidak masuk maka ekonomi kita akan menghadapi kesusahan. Ini tidak tepat. Cuba kita kembalikan ayat yang sama. Kalau FDI ini tidak dibenarkan masuk maka kapitalsi ini akan jatuh muflis bukan kita.

Ekonomi Malaysia semakin terkangkang. Najib akan terus mendapat lebih banyak tekan dari Singapura, Amerika, Peranchis dan pemodal luar. Kad Altantuya akan dimainkan oleh kuasa-kuasa besar sama seperti Isreal memainkan bom nuklear untuk menakut-nakutkan negara Arab.

Jangan silap baca - kes Altantuya ini masih belum selesai. Maka terpulanglah kepada anak semua bangsa di Malaysia ini untuk memileh pimpinan yang jujur, telus dan demokratik yang tidak mungkin boleh ‘dipau’. Selagi Najib menjadi Perdana Menteri tekanan ke atas Malaysia akan beterusan. Najib akan terus mengangkang kepada kapitalis global dan kepentingan Amerika, Singapura dan Peranchis.

dipetik dari: tukartiub.blogspot.com

apo ni???

biar mengaku pernah meminum arak dari hipokrit didepan rakyat konon membela agama, bangsa dan negara

Halili buktikan pemilihan Zaid tepat

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 19 April: Tindakan Datuk Dr. Halili Rahmat keluar PKR dan menyertai Umno dianggap sebagai suatu rahmat daripada Allah kepada Pakatan Rakyat.

Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, sikap yang ditunjukkan Halili katanya membuktikan Pakatan Rakyat tepat membuat keputusan untuk tidak memilihnya sebagai calon bagi PRK Hulu Selangor.

Nama Halili sebelum ini antara tersenarai sebagai calon Pakatan Rakyat bagi PRK Hulu Selangor.

"Memang namanya (Dr. Halili) antara yang dicalonkan, mujur kita tak pilih beliau, kalau kita (pimpinan Pkatan Rakyat) pilih sudah tentu merugikan rakyat kelak."

"Alhamdulillah, dengan keputusan Dr. Halili keluar (parti) seolah-olah suatu rahmat daripada Allah, (maka) saya cuma nak ucap terima kasih." ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Keputusan Halili itu juga katanya memberi isyarat yang jelas bahawa keputusan Pakatan Rakyat memilih Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon di Hulu Selangor merupakan keputusan yang terbaik.

Tambahnya lagi, Pakatan Rakyat tidak menganggap penghijrahan Dr. Halili kepada Umno sebagai suatu kerugian pada Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, menurut beliau, pemergian itu merupakan suatu proses pemutihan bagi Pakatan Rakyat, khususnya PKR sendiri.

"Ia bukan suatu kekurangan, saya nampak ia suatu proses pemutihan buat PKR dan Pakatan sendiri kerana sesiapa pun tahu realiti bankrapnya amalan politik Umno buat masa ini," beliau menambah.

Pagi tadi, media melaporkan Dr. Halili mengumumkan untuk meletak jawatan sebagai Bendahari PKR Hulu Selangor.

Dipercayai tindakan menyertai Umno itu disebabkan beliau berasa tidak puas hati dengan keputusan Pakatan Rakyat memilih Zaid sebagai calon tunggal di P.94 Hulu Selangor tersebut.

PAS mahu SPRM siasat Palanivel lulus projek RM354,000

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 April: PAS mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pengakuan Ketua Kampung Sungai Buaya di Hulu Selangor, Mustafa Talib bahawa Datuk G Palanivel telah meluluskan tiga projek bernilai RM354,000 di kampung itu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) tidak mempersoalkan keperluan perbelanjaan itu dikeluarkan oleh pihak kerajaan, tetapi mempersoalkan kelayakan dan kredibiliti Palanivel yang tidak mempunyai jawatan dan kuasa dalam kerajaan masih boleh memberi kelulusan projek.

“PAS mahu SPRM menyiasat perkara ini kerana beliau bukanlah anggota kabinet atau penjawat awam yang mempunyai kuasa bagi menentukan perbelanjaan wang negara,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, adalah tidak releven seorang bekas wakil rakyat yang kini dilantik sebagai penyelaras sebuah parti politik boleh mengeluarkan duit kerajaan sesuka hati untuk projek yang ada kepentingan dengan Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Menurutnya, selama dua tahun allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor, Kerajaan Persekutuan enggan memberikan sebarang peruntukan kepada beliau bagi memajukan kawasan itu.

“Tetapi, selepas beliau meninggal dunia Kerajaan Persekutuan tiba-tiba sahaja melantik 'wakil rakyat haram' untuk membelanjakan duit kerajaan.

“PAS menuntut SPRM tidak bermain wayang dan menutup mata terhadap apa yang berlaku di Hulu Selangor sekarang,” tegasnya.