Pusat judi, hiburan halal kerana lesen?

Pembela
Thu | Jul 30, 09 | 6:00:01 pm MYT

Nampaknya bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohd Khir Toyo begitu serius bercakap tentang pusat judi, hiburan dan spa yang dikatakan haram berjumlah 4000 buah seluruh negeri Selangor.

Tahniah saya ucapkan kepada bekas Menteri Besar Umno-BN di Selangor tersebut kerana sensitif dengan isu pusat judi, hiburan dan spa haram sejak akhir-akhir ini.

Persoalannya ialah, adakah Khir Toyo melihat isu halal dan haram hanya di daam konteks lesen semata-mata, sekali gus membelakangkan dari aspek hukum agama Islam yang menjadi pegangannya.

Jika itulah yang menjadi prinsip dan pegangannya dalam menentukan status halal dan haram berkenaan pusat judi, hiburan dan spa haram, maka wajar Khir Toyo pergi mendalami lagi ilmu Islam supaya ia tidak menyebabkan ia menanggung bala dan dosa di sisi Allah SWT.

Bagi saya, memberi lesen pusat judi, hiburan dan spa tetap haram, malah ia dua kali haram dari yang tidak berlesen. Ini yang sepatutnya yang Khir Toyo kena sedar. Sekadar mahu mempolemikkan isu pusat judi, hiburan dan spa tidak berlesen (haram) olehnya adalah berkepentingan politik yang keliru dan mengelirukan kepada dirinya sendiri.

Sebaliknya, kewujudan pusat judi, hiburan dan spa tidak berlesen tersebut lebih baik berbanding yang berlesen kerana ia adalah salah satu cara pencegahan ataupun kawalan yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor secara diplomasi dan bijaksana. Ia tidak seperti Khir Toyo yang cuba menghalalkan pusat judi, hiburan dan spa melalui pemberian lesen kepada permohonan.

Sebagai umat Islam, Khir Toyo harus faham bahawa samada pusat judi, hiburan dan spa yang diberi lessen atau tidak berlesen tetap haram di sisi agama Islam. Sesungguhnya implikasi di atas kegiatan yang berkaitan pusat judi, hiburan dan spa tetap salah di sisi agama serta tidak sah dari sisi agama.

Khir Toyo cuba untuk menampilkan keIslamannya melalui isu pusat judi, hiburan dan spa yang dikatakan haram, sebaliknya melupakan bahawa dia pernah diamanahkan sebagai Menteri Besar Selangor mengutip hasil dari pusat judi, hiburan dan spa yang dianggap tidak haram tersebut.

Akhirnya, saya ingin memberi sedikit pengajaran kepada Khir Toyo bahawa perkara haram lain yang perlu diketahui olehnya ialah memberi lesen kepada pusat judi, hiburan dan spa.

Allah selamatkan saya ketika derita...

Azamin Amin
Wed | Jul 22, 09 | 12:31:33 pm MYT

Duit RM1.00 di telapak tangan, saya genggam kemas. Untuk membeli minuman pun belum tentu lepas. Kebetulan malam itu saya sangat-sangat lapar. Lalu tanpa hala tuju yang jelas, saya singgah sebentar di sebuah surau berdekatan rumah sewa untuk menunaikan solat isyak. Tahun itu 1998, ketika saya masih bujang.

"Apalah yang boleh dibuat dengan duit ini...?" kata hati, sambil tangan terus memasukkan wang itu tadi ke tabung surau. Ya, lebih baik bersedekah dan belajarlah bersabar menahan sengsara.

Cuba-cubalah selami, orang yang tak punya harta, kata naluri kecil. Bayangkanlah perasaan bila menatap wajah si kecil yang sentiasa menanti kepulangan ayah bonda dengan buah tangan, aneka kuih, lauk pauk atau alas perut yang sebenarnya tidak pernah kunjung tiba dan hanya mimpi semata-mata.

Teringat sebuah rancangan televisyen, ketika wartawan menemubual seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, daripada keluarga susah dan daif.

"Jika ada duit, adik nak makan apa?" tanya wartawan wanita itu tentang hasrat dan cita-cita sikecil itu jika punya cukup belanja.

"Roti canai..." jawab kanak-kanak ini tersekat-sekat dengan wajah yang menunduk malu. Pilu rasanya, bayangkan makanan bernilai 70 sen ketika itu pun tidak mampu dibeli. Biarlah malam ini saya merasa pula.

Selesai solat, saya kembali ke rumah sewa, tempat tinggal bersama tujuh rakan yang lain, yang masing-masingnya tidak ada di rumah.

Tidur untuk menahan lapar


Saya pun melabuhkan tubuh di atas lantai ruang tamu, sambil cuba memejamkan mata. Tidur, jalan terbaik menahan lapar kata hati lagi.

Hati memujuk diri sambil sesekali berdoa, agar hari esok akan lebih baik daripada hari ini. Moga ujian ini tidak berpanjangan dan penghapusan dosa dan kesalahan saya selama ini.

Tiba-tiba selang beberapa minit, pintu rumah diketuk bertubi-tubi.

"Nah, kami teringat kat Azamin, saja beli nasi goreng lebih," kata jiran, sepasang suami isteri beranak dua kepada saya sambil menghulurkan bungkusan makanan itu.

Setelah rapat menutup pintu, air mata saya tumpah. Terharu yang amat. Rasa kerdilnya diri. Bagaimana Allah telah menyelamatkan saya malam itu...hanya kerana secebis doa dan sedekah yang secubit cuma.

Benarlah kata orang dan ahli agama, bersedekahlah, nescaya dirimu diganjar Allah. Jika tidak di dunia, akhirat kelak, saham kita akan bercambah-cambah.

Itu kejadian pertama, lalu muncul pula kisah kedua, antara peristiwa aneh daripada pengalaman hidup saya yang cukup sulit, perit dan sakit.

Keperitan dilalui sehingga pernah saya bekerja mencuci kereta, menjadi pelayan di kedai makan, mencuci kasut orang, mengutip hutang seperti 'Ah Long', menjadi pengawal keselamatan dan 'house-keeping' di resort dan aneka kerja untuk meneruskan kehidupan di ibukota.

Pernah dua hari, saya sekadar meneguk air sejuk semata-mata lantaran tiada wang untuk menjamu selera.

Ada juga kalangan kawan-kawan yang menawarkan 'kerja', namun saya tolak kerana menjadi 'pusher' dan jual paket-paket ganja, jadi 'bouncer' di kelab malam dan upah 'menarik' kereta mewah adalah kerja-kerja yang mengundang padah.

Saya rela berlapar daripada menempah bahaya dan memalukan ayah bonda. Saya yakin, jika kita mengelak, Allah akan pasti membantu kita.

Seperti kisah, ketika saya bekerja di sebuah syarikat saham di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Pendapatan saya dikira agak boleh tahan jika dicampur dengan kerja lebih masa sehingga subuh hari.

'Tak boleh sembahyang Jumaat!'


Saya bekerja di bahagian 'script processing' dan 'data entry'. Masa itu, masih wujud sijil-sijil saham jenis kepingan kertas yang perlu dikira satu persatu sehingga mencecah ribuan setiap hari.

Suatu hari, ketika saya pulang ke pejabat selepas mengerjakan solat Jumaat kira-kira jam 2.45 petang, seorang pegawai muda menengking saya dengan tidak semena-mena.

"Kenapa baru balik? Pergi mana?" jerkahnya.

"Sembahyang. Hari inikan Jumaat," saya jelaskan dengan santun.

"Sembahyang banyak lama ka? Kawan-kawan awak pun tak sembahyang, lain kali tak payah pergi sembahyang!"katanya tidak puas hati.

Ya, salah kawan-kawan saya juga yang sebilangannya jika hari Jumaat akan 'solat' di Pertama Kompleks, Bukit Bintang dan mana-mana tempat mereka lazim 'bersidai'.

"Apa?!! Tak payah sembahyang? Tak pa, sekarang juga saya berhenti!!!" kata saya melawan sambil meninggalkan pegawai itu terkebil-kebil sendiri. Kejadian itu disaksikan oleh ramai rakan-rakan saya, yang juga tidak sembahayang.

Pada saya, rezeki milik Allah, dan bekerja mestilah diredhai oleh-Nya. Alhamdullilah, saya menganggur hanya seminggu sahaja, apabila seorang "Remiser" mengambil saya berkerja sebagai "Asistant" di syarikat yang sama, dan saya berurusan dengan mamat pegawai ini dalam suasana yang berbeza - bukan di bawah telunjukknya lagi.

Kembali kepada kisah ajaib yang berlaku kepada saya.Tetapi, bagi Tuhan yang Maha Kuasa ianya, tidak mustahil boleh berlaku kepada sesiapa yang Dia mahu. Yang pasti, pintalah.

Suatu malam, saya sudah tenggelam punca. Maklumlah wang saya sudah habis. Bukan sebab berfoya-foya, membeli itu ini sesuka rasa tetapi gaji yang diterima cukup-cukup makan saja. Lebih parah, esok untuk ke tempat kerja, tambang bas pun tidak ada. Untuk meminjam, saya sudah tidak sanggup menebalkan muka.

Saya hamparkan sejadah, solat sunat dua rakaat. Inilah antara pesan yang ditinggalkan oleh ibu yang tercinta dan arwah guru saya.

"Jika kau susah sangat, solatlah dua rakaat dan pintalah pada Allah apa yang dihajat," ingat mereka kepada saya.

Teresak-esak saya menangis. Tak tahu nak dikatakan apa lagi. Malu pada Tuhan yang amat. Ada kala saya tidak mensyukuri nikmat. Saya tidak tahu kemana lagi hendak dituju. Untuk bergantung kepada manusia, saya sudah tidak mampu. Aib dan cukup-cukup malu!

Bak kata seorang sahabat Nabi tentang kemiskinan yang dilaluinya...

"Jikalau aku diam, aku akan lapar, jika aku bersuara untuk berhutang, aku menambahkan malu di muka."

Ya, begitulah juga dengan saya...hanya pada Allah saya berharap. Seusai bermunajat, ambil sebuah Quran kecil milik saya untuk membasahkan lidah dengan surah-surah kalimah Allah buat menenang jiwa yang resah.

Tatkala membuka helaian demi helaian Quran itu, tiba-tiba terselit sekeping wang RM50.00 di situ. Berjurai air mata saya, lantaran kesyukuran kerana Allah membantu saya dengan cara yang tidak disangka-sangka...

Ini bukan kisah rekaan, malah saya percaya Allah juga pernah dan telah membantu manusia-manusia di luar sana hatta pembaca dengan jalan penyelesaian yang tidak diduga.

Ada dengan cara fitrah manusia, ada dengan cara logik akal, ada yang lambat, ada yang cepat dan ada yang tidak dijangka-dijangka dan mustahil diterima waras manusia...itulah Allah, yang amat menyayangi hamba-Nya.

Yakinilah bantuan Allah SWT, sangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya Allah SWT bersama hamba-Nya yang bersangka baik dan taat pada-Nya.

Seperti sebuah hadis Qudsi ertinya: Allah menyebut: "Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu."

Isteri menangis, anak tersenyum sehingga lena


Sekitar tahun 2002, Allah juga pernah 'menyelamatkan' saya pada suatu malam ketika benar-benar kesempitan wang.

Malam itu, susu anak sulung saya habis. Berdebar jantung lantaran, hanya kepingan-kepingan syiling saja yang tinggal. Saya dan isteri juga, tidak menjamah walau secebis makanan.

Tiba saat yang cukup perit dan payah untuk dihadapi tatkala, si comel saya merapati ibunya, minta dibuatkan susu. Ketika itu isteri saya sudah tidak sanggup melihat keadaan itu.

Saya dengan hati yang luluh, lantas mencapai botol susu lalu menuangkan air suam ke dalamnya.Anak sulung saya, berkerut kehairanan kerana botol susu itu tidak berwarna, tetapi berkaca sama seperti air mata ayah dan ibunya.Namun tanpa banyak rengekkan, dia capai lalu menghisap botol tersebut.

Beberapa saat kemudian, dia berhenti lantas memandang saya...

Bimbang benar jika dia menjerit dan menangis malam itu kerana tidak dapat meminum susu. Alangkah aibnya saya, jika jiran semua tahu letak duduknya keadaan saya, sehingga anak menjerit kelaparan. Isteri saya juga panik, dan pucat kesi wajahnya menantikan reaksi si sulung seterusnya.

Saya bersabar menunggu detik itu...

Sambil memegang botol susu, anak sulung saya merenung wajah kami berdua seraya berkata :

" Mmm...sedap.."

Dan dia mengukirkan senyuman paling manis di wajahnya dan sudah cukup untuk 'mencarik-carikkan' nurani saya.

Aduhai, sebak terasa di dada. Isteri saya sudah tidak dapat menahan sedih, menangis semahu-mahunya. Si sulung kembali menyusu air suam sehinggalah terlena......

Sebenarnya, ujian-ujian yang Allah berikan ini sama ada kepada saya atau yang lain, adalah untuk menguatkan jiwa, iman dan keteguhan manusia menghadapi cabaran getir dan mengukuhkan lagi kebergantungan kepada-Nya.

Ketika menghadapinya terasa cukup sakit namun setelah berjaya melintasinya, ianya cukup nikmat. Pengalaman pahit umpama 'universiti terbaik' hidup kita selama ini.

Dan setiap ujian yang diberikan, adalah sesuai dengan kemampuan seseorang. Masalah-masalah saya, tidak diberikan dan berbeza kepada orang lain kerana khuatir mereka tidak dapat menanggungnya.

Begitu juga masalah mereka, tidak diberikan kepada saya, khuatir saya hilang punca dan tidak upaya menahan bebannya.

Dan ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan manusia seperti firmannya:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya�" (Al-Baqarah: 286)

Begitulah Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasihani.

Adakala hidup ini dilalui dengan pelbagai himpitan, masalah, ujian namun kita tidak keseorangan dalam menghadapinya. Allah itu kan ada, mendengar rintihan kita.

Jika anda rasa, anda susah betapa ramai lagi yang tak pernah kenal erti apa itu lampu, pendingin hawa atau makanan enak menjilat rasa.

Atau sekadar menjamah pucuk-pucuk paku di belakang rumah atau sayur ulaman di kaki longkang. Baju lusuh bertukar warna, menjadi teman di Hari Raya. Mereka lebih derita dan lara.

Jikalau anda rasa hebat, sebenarnya ramailah lagi, jauh lebih hebat daripada anda. Esok anda hebat, lusa mungkin anda merempat. Belum tahu, justeru pintalah pada yang Esa agar perjalanan hidup anda sentiasa direstu dan dilindungi selalu.

Terus- terang saya katakan, di sebalik cabaran, dugaan dan asakan yang mendatang, adakalanya saya juga 'frust' dan tewas. Kecewa umpama 'mati' sebelum mati. Api juang adakala naik menjulang namun lazimnya padam dan kecundang.

Di sebalik tulis-tulisan saya dan rintangan yang dihadapi, mahu sahaja saya berhenti daripada mencebis kata-kata namun surat-surat pembaca dan puluhan email yang saya terima, 'menghidupkan' saya semula. Semua ini dengan hidayah dan kekuatan yang tuhan berikan.

Kata seorang tua kepada saya, sebanyak mana orang menyukai kita, mungkin sebanyak itulah orang membenci kita. Justeru janganlah kita mendabik dada, kerana dunia ini pinjaman semata-mata.

Ada pembaca yang menceriakan saya, ada yang lebih susah hidupnya dan lebih hebat pengorbanannya malah tidak kurang juga yang menegur dan mengkritik saya.

Sesungguhnya, pandangan, dan teguran pembaca dan cerita-cerita mereka, menyuntik semangat di dada yang adakalanya kecundang secara tiba-tiba.

Syukur kepada Allah, memberi kekuatan kepada saya dan terima kasih kepada pembaca, peminat dan pengkritik yang telah menyedarkan lena dan duka saya yang panjang...

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)." (Al-Baqarah: 155-156).

Menulis dari meja Harakahdaily di pejabat Harakah, jam 10.30 pagi 22 Julai 2009.- azm

(Sebarang teguran, pandangan dan suntikan semangat, bolehlah disisipkan kepada saya di azaminamin@yahoo.com) _

Titisan darah umat Islam China terbiar?

Shirzad Lifeboat
Fri | Jul 17, 09 | 11:45:35 am MYT

TATKALA seorang penulis kembara British, Peter Fleming tiba di Xinjiang pada Ogos 1935, Republik Turkistan Timur telahpun diisytiharkan di bandar Kashgar sebelum ia ditukar kepada Turkistan Timur atau Uyghuristan.

Fleming yang sanggup mengembara selama tujuh bulan dari London untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di wilayah China yang dilatar belakangi oleh Banjaran Pamir ini mendapati betapa Islam bertapak di sini sejak pertengahan kurun ke-9 lagi dalam bentuk penempatan dan penguasaan kaum Uyghur.

Ketibaan Fleming di Xinjiang disambut dengan saki baki rusuhan yang berlaku di antara kaum Uyghur, kumpulan Turkis lain, kaum Rusia Islam dan kaum Hui (kaum China Islam) terhadap kerajaan revolusi China yang berjaya merampas kuasa dari Maharaja Puyi daripada Dinasti Qing, maharaja dan dinasti terakhir China dalam Revolusi 1911.

Bagi Fleming, pencetus revolusi yang kononnya mahu menghapuskan rasuah dan kemungkaran lain dalam Dinasti Qing sebenarnya tidak lebih daripada sekumpulan manusia yang rakus dan obses dengan doktrin komunism yang sedang mereka majukan.

Fleming yang mengabadikan pengalamannya di Xinjiang dalam buku News From Tartary: A Journey From Peking to Kashmir (1936) antara lain menulis: "Saya tidak tahu, dan tidak memperdulikan, mengenai teori politik, kecurangan dan penipuan, penindasan dan ketidakcekapan, yang telah dilakukan kerajaan, apa yang menjadi perhatian saya ialah manifestasi konkrit kerajaan, serta impaknya terhadap kemanusiaan dan bukannya mengenai asal-usul doktrin utama yang cukup samar."

Sesungguhnya politik China sedang hilang pedoman ketika itu. Penghapusan sistem kerajaan beraja mutlak dan pengaruh Barat mengakibatkan pencetus revolusi mencari-cari apakah sistem yang harus digunakan bagi menggantikan sistem yang telah dipakai sejak 2852 SM.

Namun atas sebab yang diketahui sendiri atau tidak diketahui pencetus revolusi dan pewaris mereka, doktrin komunisme yang belum teruji di bumi China menjadi pilihan utama walaupun ketika itu sistem Islam sudah bertapak di bumi tersebut seawal 650 Masehi selepas bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., Saad Abi Waqqas diutus menemui Maharaja Gaozong oleh Khalifah Uthman Affan. Sejak itu, Islam mempunyai pengaruh yang besar.

Walaupun doktrin Marxisme menganggap "agama adalah sebagai dadah kepada masyarakat", namun doktrin komunis yang digunakan kerajaan China, malah setelah tertubuhnya Republik Rakyat China pada 1949, tidak dapat menolak Islam walaupun pelbagai usaha dan keganasan dilakukan ke atas rakyat beragama Islam yang dianggarkan 100 juta kini.

Usaha terbaru penghapusan etnik sudah tentulah sebagaimana keganasan yang tercetus di Xinjiang bermula Januari 2007 dan kini apabila Wilayah Autonomi Xinjiang itu kembali bergolak, media China yang dikuasai kerajaan sekali lagi cuba menyembunyikan kebenaran.

Menurut agensi berita China, Xinhua, jumlah penduduk Islam yang terkorban dalam keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa negara itu 7 Julai lalu adalah 156 sebagaimana dipetik Reuters.

Namun demikian aktivis Uyghur mendakwa media China berusaha menggambarkan laporan itu agar menyebelahi mereka menerusi apa yang disebut pakar media China di Hong Kong sebagai 'Control 2.0'.

Tindakan terhadap kaum Uyghur

Menurut David Bandurksi, editor Projek Web Media China, "Dengan menyalurkan keluar berita sebenar, penyaluran media asal kepada Xinhua akan diperbesar-besarkan bagi menunjukkan tindakan kerajaan China adalah betul dan berita ini digunakan oleh agensi lain termasuk AFP, Reuters, AP dan lain-lain."

Taktik sama digunakan oleh China apabila pihak polisnya mengambil tindakan terhadap kaum Uyghur di bandar Shishou Jun lalu.

Berdasarkan penyaluran laporan (news feed) dengan cara sama, hampir semua akhbar di seluruh dunia melaporkan keganasan berpunca daripada rusuhan yang dimulakan kaum Uyghur dan penduduk Islam lain di situ.

Bagaimanapun seorang wartawan Reporters Without Borders di New York mendapati lebih daripada 50 laman forum berbahasa Uyghur di Internet ditutup secara tiba-tiba termasuk Twitter.

Menurut wartawan tersebut, "Hubungan rakyat wilayah tersebut dengan dunia luar telah terputus sama sekali dan dunia mungkin tidak mendapat gambaran apa yang sebenarnya sedang berlaku."

Bagi masyarakat Uyghur di Kanada pula, sejak seminggu lalu sahabat-sahabat dan keluarga mereka di Xianjiang telah hilang dari perkhidmatan messenger internet, tidak menjawab telefon bimbit mereka, tidak membalas e-mel dan malah talian telefon juga sentiasa sibuk.

Mereka yang sempat menerima laporan menerusi e-mel atau berhubung menerusi messenger menceritakan bagaimana polis China telah datang ke setiap rumah di Xinjiang dan menangkap penduduk lelaki Uyghur.

Bagaimanapun media China tidak melaporkan semua ini dan tidak menyebut bagaimana wanita Islam di Xinjiang telah merayu kepada polis di hadapan para pemberita agar membebaskan suami mereka.

Paling ketara kebanyakan laporan yang berpunca dari Xinhua tidak menyebut secara jelas apakah punca sebenar krisis yang melanda Xinjiang.

Menurut Rukiye Turdesh, Presiden Persatuan Uyghur Kanada, �Kebanyakan media menyiarkan laporan berat sebelah. Mereka tidak menunjukkan gambar bagaimana kaum Uyghur dibunuh. Mereka tidak menyebut apa-apa tentang Uyghur. Mereka hanya mengatakan puak China telah dibelasah, dan media di seluruh dunia melaporkannya.�

Satu kenyataan dari laman web Kongres Uyghur Dunia mengatakan menurut saksi, pasukan separa tentera China telah menembak penunjuk perasaan pada 5 Julai lalu.

Menurut Radio Free Asia, sumber yang dipetik dari Hinjiang University mengatakan hampir 400 umat Islam Uyghur mati di tangan pasukan para tentera tersebut.

Nyata terdapat percanggahan di antara berita yang dilaporkan oleh Xinhua dengan apa yang berlaku sebenarnya. Hal ini mengundang kutukan dunia terhadap kezaliman yang dilakukan oleh pihak berkuasa Republik Rakyat China terhadap umat Islam Ugyhur.

Dalam kesungguhan China menyembunyikan fakta sebenarnya mengenai pengaruh Islam yang sedang berkembang di negara itu dan dalam kebimbangan ia akan menimbulkan konflik dengan doktrin komunisme satu ketika nanti, kerajaan China terlupa, tindakan ganas yang dilakukan mereka kini tidak sama sebagaimana demonstrasi dan rusuhan yang berlaku di sini pada tahun 1935.

Sementara kerajaan China mungkin boleh mengharamkan bendera Islam daripada dikibarkan oleh umat Islam Xinjiang, namun mereka tidak dapat menghalang cerita sebenarnya daripada diketahui oleh dunia luar.

Mungkin China merasakan masih banyak tabir dan tembok yang menghalang masyarakat dunia melihat kebenaran, tetapi mereka terlupa, dalam era ICT ini, jika Peter Fleming masih hidup, beliau sudah tentu akan mengetahui jauh lebih banyak maklumat termasuk maklumat masa sebenar dalam masa tujuh minit sahaja berbanding dengan tujuh bulan perjalanan ke Xinjiang. - azm_

Islam bangkit semula di Nusantara?

H Fansuri
Fri | Jun 26, 09 | 8:20:11 am MYT

Seperti yang dijanjikan, Hj Amin Nordin Hj Abdul Rahman, 65, dengan penuh kesabaran telah menunggu saya di sebuah restoren, sekitar ibu kota. Sebenarnya, beliau mahu memperkenal sebuah bukunya yang terbaru.

Walaupun usia penulis ini melebihi separuh abad, tapi semangatnya masih muda dan memikirkan hal itu, rasa segan pun bertandang apabila melihat kesungguhannya menulis beberapa buah buku yang menyentuh hal ehwal kemurnian agama Islam.

Buku itu sememangnya antara judul yang cepat menambat perhatian, kerana ia secara tak langsung mengaitkan Melayu sebagai pengangkat agama dan nilai tauhid sebagai sebuah tenaga penggerak kuasa baru Islam di rantau Nusantara ini.

Perihal kebangkitan Islam di Nusantara kerap disebut dalam banyak hal. Ada pihak yang mengaitkannya dengan peranan Ahlul Bait yang menyebarkan dakwah di rantau itu.

Sementara itu, pendapat pemimpin Barat seperti Richard Nixon umpamanya banyak menyebutkan rantau Nusantara sebagai antara kawasan yang menarik perhatiannya serta berpotensi sebagai rantau yang perlu dipantau.

Ini kerana, rantau Nusantara mempunyai potensi untuk membangun sebagai sebuah kuasa Islam pada masa-masa yang akan datang. Pendek kata, rantau itu bukan saja membangun sebagai tempat di mana Islam berkembang, malah Islam itu sendiri akan tertegak sebagai sebuah pusat kuasa dunia!

Buku 'Kebangkitan Semula Islam'

Haji Amin Nordin, lewat bukunya berjudul Kebangkitan Semula Islam memperihalkan keyakinan ini walaupun di celah kegawatan siasah Nusantara.

Ketika berbual ringkas bersamanya sementara menunggu solat Jumaat baru-baru ini, Haji Amin Nordin menyelak beberapa helaian bukunya yang berharga RM7 itu untuk mencari perenggan yang memperihalkan perkara tersebut.

"Amerika pernah memberi bantuan sebanyak RM600,000,000 kepada pesantren-pesantren di Indonesia agar institusi-institusi itu bersetuju mengadakan kurikulum pelajaran yang dikehendaki mereka.

"Bagaimanapun, jumlah wang tersebut tidak berjaya mempengaruhi pihak pentadbir pesantren itu," kata beliau.

Pesantren Gontor di Surabaya, mempunyai lapan cawangan, dan mempunyai seramai 12,000 pelajar itu antara yang diintai oleh kuasa besar Amerika.

Beliau optimis bahawa keagungan Islam di Nusantara akan hampir sama setara dengan kegemilangan empayar-empayar Islam yang terdahulu.

"Sekiranya pada zaman-zaman kegemilangan Islam dulu lahirnya khilafah-khilafah atau empayar Islam seperti Khilafah Umaiyah, Abasiyah, Uthmaniyah dan sebagainya, maka adalah dipercayai akan lahirnya khilafah atau empayar Islam yang standing khilafah yang terdahulu.

"Dari segi negara atau wilayah yang berpotensi untuk menjadi khilafah atau empayar Islam dewasa ini adalah wilayah Nusantara (meliputi Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina). Ini kerana selain daripada mempunyai bilangan penduduk Muslim paling ramai di dunia, keinginan untuk menghayati ajaran Islam juga adalah tinggi di sini," tulisnya melalui buku itu yang baru terbit pada tahun ini.

Tetapi, adakah Melayu yang selalu dilihat sebagai bangsa yang lemah dibanding Barat ini akan dapat bingkas bangun mempertahan Islam sebagai sebuah kuasa di Nusantara?

Mengulas hal ini, Haji Amin Nordin berkata, adalah suatu keperluan untuk mengeluarkan golongan mujahid berjiwa sufi dan sufi berjiwa mujahid.

"Dalam buku ini, saya sebutkan bahawa kita perlukan golongan mujahid, bukan sufi saja tapi tidak berjiwa mujahid," tambah beliau sambil menyelak beberapa helaian lagi.

Beliau turut mengaitkan pandangan yang tercetak dalam buku ini dengan kenyataan Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan bahawa abad ke-19 adalah milik Kristian, kurun ke-20 adalah milik Yahudi dan kurun ke-21 adalah milik umat Islam.

Beliau memetik nas dari ayat daripada surah al-Anfal ayat 65 yang menyebutkan bahawa jika ada 100 orang Islam yang bersabar, nescaya mereka dapat menumpaskan 1,000 bala tentera kafir. Perkembangan mutakhir ini telah menyokong kebenaran nas itu.

"Lihat Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan," tambah Haji Amin Nordin, "dengan jumlah bilangan mereka yang kerdil, tapi mampu menumbangkan tentera Israel yang jauh lebih besar daripada mereka."

"Tak perlu ramai orang. Mungkin jika ada 10 mujahid sufi dah boleh mengangkat maruah Islam di rantau ini," tambahnya sambil menjelaskan; bukunya pernah mahu diterjemah ke bahasa Indonesia oleh Drs Sidi Gazalba; seorang cendekia dari tanah seberang itu.

Blok Negara Islam?

Tampil dengan beberapa gagasan menarik, ialah pandangan yang termuat dalam buku itu; penubuhan blok Negara Islam; gagasan yang pernah diapung oleh mantan Presiden Iran; Khatami ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir, bagaimanapun, mungkin kerana idea itu bukan miliknya, telah bersikap dingin terhadap gagasan tersebut.

"Kita kena fikirkan semula mengenai keperluan kita menubuhkan blok seperti Kesatuan Eropah (EU)," tambah beliau lagi.

Selain itu, tambahnya, negara-negara Islam perlu menilai semula pembabitan mereka di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beberapa halaman lagi telah diselak. Haji Amin memberitahu mengenai kaitan PBB dengan The Protocols of the Elders of Zion, iaitu masyarakat rahsia yang masih wujud ke hari ini untuk menjatuhkan peradaban sekali gus membunuh kemanusiaan.

Sebuah petikan daripada protokol Yahudi itu telah dimasukkan di dalam buku beliau itu, bagi menyokong hujahnya bahawa kelahiran PBB adalah hasil daripada perbincangan-perbincangan awal tokoh-tokoh Zionis.

"Sebab itu apabila Iraq, Afghanistan, Palestin, Serbia diserang, PBB tidak melakukan apa pun. Sebabnya, mereka sendiri yang mengemudikan pertubuhan dunia tersebut.

"Lihat sahaja siapakah yang menguasai Majlis Keselamatan PBB? Semuanya bukan dari kuasa-kuasa Islam," tambah Haji Amin Nordin lagi.

Banyak lagi isu yang dikupas dengan menarik dalam buku ini kalau mahu diteliti semua. Namun, apa yang penting bagi mantan pegawai Felda sejak zaman Dato' Asri Muda ini, umat Islam berjiwa mujahid dan berjiwa sufi perlu dicetak ke serata alam.

Hal ini perlu kerana, menurutnya, di tangan mujahid berjiwa sufi inilah akan tercetaknya umat Islam yang menggalas perubahan mendasar di rantau ini sebagai pembela maruah Islam seperti yang berlaku pada zaman-zaman sebelumnya.

Mereka yang berminat menyelongkar pemikiran penulis ini boleh menghubungi Hj Amin Nordin di 397 Jalan B-6, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur. Beliau dapat dihubungi juga menerusi talian 03-41074737 dan 017-3873978.

5:13 p.m, 1 Mei
Sekolah Pemikiran Kg Baru